Kelantan
Kelantan Darul Naim (Jawi: كلنتن دار النعيم, Loghat Kelantan: Klatè) atau nama pendeknya Kelantan merupakan sebuah negeri daripada 13 buah negeri di Malaysia yang kaya dengan sumber asli. Mempunyai keluasan lebih kurang 14,922 km², terletak di timur laut Semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan, dan bersempadan dengan Provinsi Narathiwat, Thailand (lihat peta). Kelantan ialah sebuah negeri agraria (pertanian) yang mempunyai banyak kawasan tanaman padi dan perkampungan nelayan.
Berdasarkan pada Bancian Tahun 2000, Kelantan mempunyai seramai 1,313,014 orang penduduk. Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar dengan 95%, diikuti dengan kaum Cina 3.8%, kaum India 0.3% dan lain-lain kaum 0.9%. Berdasarkan bancian tersebut, 95% beragama Islam, diikuti dengan agama Buddha 4.4%, Kristian 0.2%, Hindu 0.2% dan lain-lain agama 0.2%.
Geografi
Kelantan Darul Naim terdiri daripada 10 jajahan iaitu :-
- Jajahan Kota Bharu (كوتا بارو)
- Jajahan Pasir Mas (ڤاسير مس)
- Jajahan Tumpat (تومڤت)
- Jajahan Pasir Puteh (ڤاسير ڤوتيه)
- Jajahan Bachok (باچوق)
- Jajahan Kuala Krai (كوالا كراي)
- Jajahan Machang (ماچڠ)
- Jajahan Tanah Merah (تانه ميره)
- Jajahan Jeli (جيلي)
- Jajahan Gua Musang (ڬوا موسڠ)
- Jajahan Kecil Lojing
Bandar-bandar utama di negeri Kelantan termasuklah Kota Bharu (ibu negeri), Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli,Rantau Panjang dan Pangkalan Chepa.
Iklim
Negeri Kelantan mengalami iklim tropika yang baik, di mana hampir setiap tahun hujan turun dengan berselang-seli mengikut bulan tertentu. Biasanya, hujan yang lebat akan berterusan selama beberapa hari atau selama beberapa bulan. Bulan-bulan yang mengalami hujan yang paling kerap ialah bulan November, Disemberdan Januari, iaitu pada musim tengkujuh. Suhu setiap hari dianggarkan lebih kurang 21 °C.
Sejarah
Nama "Kelantan" dikatakan pencemaran daripada perkataan "gelam hutam", iaitu nama Melayu bagi pokok Melaleuca leucadendron. Ada juga yang mengatakan bahawa namanya datang daripada perkataan "kilatan" atau "kolam tanah". Selain itu Negeri Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan Serambi Mekah pada masa dahulu.
Bahasa
Penduduk di Kelantan kebanyakan menggunakan bahasa Melayu Kelantan, bahasa ini merupakan loghat dari bahasa Melayu piawai. Bahasa ini berbeza dengan bahasa Melayu Terengganu tetapi digunakan sehingga di Besut dan Setiu, Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan